Selasa, Disember 07, 2010

"Selamat Hari Lahir Ayah"

cerpen ayah

 “Ery, tolong Bang Mie angkat ayah bawa ke bilik air, Bang Mie nak mandikan ayah. Dah lewat tengahari ni.” 

Memandangkan badanku sekeping seperti pelakon Osman Kering tu, nak mengangkat ayah seorang memang  tak larat, terpaksa minta bantuan adikku, Samsuri. Nasib baik hari ini dia cuti sekolah. Boleh bantu aku sedikit sebanyak kerja  dalam rumah ni. Ayah ku tidak mampu berjalan sendiri kerna kakinya di potong akibat penyakit yang sudah hampir sepuluh tahun dihidapinya. Aku sudah dua tahun menganggur selepas tamat SPM hanya menjaga ayah di rumah.

“Elmy, ‘result’ SPM kamu dapat berapa?”

Aku teringat pertanyaan Kakty sejurus aku pulang dari mengambil keputusan SPM di sekolah dahulu. Aku menipu dengan mengatakan bahawa keputusan SPM aku teruk padahal aku antara pelajar yang mendapat keputusan yang terbaik di sekolah. Aku terpaksa berbohong kerana aku tidak mahu Kakty menyuruh aku menyambung pengajian di IPT.  Niat aku cuma ingin menjaga ayah di rumah.

Sudah tiga tahun aku menjaga ayah di rumah, semenjak mak kembali ke Rahmatullah, aku tiga beradik hidup ala kadar bergantung dengan gaji Kakty yang tidak seberapa sebagai pekerja kilang. Gajinya habis digunakan untuk membeli ubat ayah yang beratus ringgit. Kami hanya makan apa yang mampu dibeli.

***

”ay...ay...”

Ayah ingin meminta sesuatu, tangannya diangkat perlahan sambil jari penunjuknya menghala ke gelas yang terisi sedikit air. Aku mengambilnya lalu menyuapkan ke mulut ayah.  Aku semakin risau dengan keadaan ayah, suaranya semakin perlahan, hanya sayu dengar di hujung telinga. Keadaannya bukan bertambah membaik tetapi apa yang aku lihat hari-kehari..., batuknya semakin teruk sejak dari minggu lepas.  Selera makannya sudah semakin kurang dari biasa. Aku membantu apa yang aku mampu lakukan untuk menolong ayah. Hanya doa sehari-hari yang aku panjatkan kepada ALLAH untuk penyembuhan ayah.

 Pilu rasanya hati bila aku menyuapkan nasi ke mulut ayah. Aku teringat waktu mak masih hidup dahulu.
“Mak! Oh Mak! Mana makanan aku ni? Aku lapar ni, kalau dah tahu hari ni hari sekolah masak la awal-awal”

Ketika itu tanganku membuka tudung saji dan melihat tiada makanan yang ada di atas meja. Kedengaran bunyi telapak kaki dari jauh menghampiri

 “mak dah masak, nak, ada dalam periuk, Cuma mak tak hidangkan lagi” ,

dengan sinis aku menjawab 
“bodoh betullah orang tua ni, takkan nak masuk ke dalam pinggan pun nak disuruh” ,
 bengisnya aku ketika itu

“mak nak cepat tadi, nak. Mak mandikan ayah, suapkan ayah nasi”
mak cuba menjelaskan.

“Takkanlah nak jaga ayah seorang tu pun banyak karenah sangat. Dah cepat! Siapkan makanan aku, sekejap lagi aku turun, aku nak tukar baju dulu”.

Kenapalah ketika itu aku terlalu daif, terlalu mengikut perasaan. Aku dah terlalu menyakitkan hati mak sehingga mak terkena serangan jantung yang menyebabkan kematian dua tahun lepas. Alhamdulillah, sekarang aku sudah sedar. Aku tebus kesalahan aku dengan menjaga dan merawat ayah. Ayah,  baru aku sedar dia adalah insan yang  amat mulia bagiku dititipkan oleh mak kepadaku. Dari dulu keadaannya tetap seperti itu, tetapi aku tahu harapannya tinggi untuk sembuh, Cuma memerlukan waktu. Airmataku ingin mengalir tetapi tidak mungkin aku tunjukkan di hadapan ayah. Hanya ku simpan di dalam hati.

***

“Kakty, sakit ayah semakin teruk, hari ni dia tak mahu makan, puas Elmy pujuk. Batuknya semakin menjadi, Elmy risaulah Kakty.”

Kakty memutuskan panggilan selepas menyuruh aku tetap disamping ayah, menanti dia pulang lalu membawa ayah ke hospital.  Keadaan ayah memang sudah lebih teruk dari biasa dan ini sangat membimbangkan aku.

Hanya aku dan Ery di sebelah katil ayah. Hari ini Ery tidak ke sekolah kerana ingin menemani  ayah di hospital. Pada malamnya pula, Kakty akan menemani ayah sementara aku dan Ery pulang ke rumah. Aku akan kembali ke hospital semula kerana kakty tidak mungkin menjaga ayah sampai ke pagi kerana waktu pagi dia perlu bergegas ke tempat kerja. Begitulah rutin harian kami sementara ayah dirawat di hospital.

Waktu di rumah, aku di dapur memanggil-manggil nama Ery tapi tidak disahutnya. Aku terus ke bilik mencarinya. Dia duduk dibirai katil sambil kepalanya ditundukkan ke bawah. Aku menghampiri, duduk di sebelahnya, mengangkat kepalanya perlahan, pipinya basah seakan baru menitiskan airmata.

“Bang Mie, betul ke ayah dah tak lama dengan kita, mak dah lama ‘pergi’, ayah nak ikut jejak mak ke?” 
dia mulakan bicara dengan suara yang serak

 “kenapa pulak cakap macam tu? Ayah masih dengan kita kan, kita patut bersyukur dan jaga dia seadanya, tak guna jika kita terus ratapi apa yang dah berlaku”.

Sambil tanganku mendakap kepalanya ke sampingku.Mungkin rindu kehilangan mak masih tidak terubat di hatinya, sekarang menyaksikan ayah yang sedang nazak di hospital.

 “tapi.. Ery tengok ayah dah makin teruk, Ery risaulah Bang Mie, takut ayah..” 
aku segera menutup mulutnya dengan telapak tanganku. Aku tak sanggup mendengar dia meneruskan kata-katanya.

“sudah, jangan cakap bukan-bukan..” 
sambil airmataku mengalir dan mengenai kepala Ery yang dalam dakapanku. Aku terlalu mudah untuk bersedih ketika ini, sudah tak tertahan sehinggakan airmataku jatuh jua akhirnya.Penyesalan masih tengiang di benak ku, aku masih tidak boleh lupakan apa yang sudah aku lakukan terhadap keluarga ku sendiri. Dua teruna yang dahulunya sungguh sukar untuk bersatu dalam satu rumah, kini menangis dalam satu bilik menatapi kesedihan kehidupan yang melanda keluarga ini. Kepiluan hati yang sukar diubati.

***

“Eh! mak, ayah tu tak habis-habis nak menyusahkan kita. Lebih baik mati je daripada nak menguruskan mayat hidup tu. Elmy dah tak tahan, hari-hari diejek kawan-kawan kelas. Naik bengang tau tak? Dahlah kita ni miskin, duit tak pernah cukup, asyik beli ubat orang tua tu. Buat membazir je, lain kali tak payah beli, biar dia mati, habis cerita,kan senang.”

Ketika itu mak hanya menunduk tanpa mengeluarkan sepatah bicara pun membalas kata-kata biadapku. Aku terus menyambung

“ kenapa, tak sanggup? Kalau tak sanggup, mak bawa je dia keluar dari rumah ni. Buat menyemak je, bosan hari-hari macam ni.”

‘Pamm!’ fuh, entah datang dari mana tamparan yang tepat-tepat kena ke pipiku.

“kau jangan nak kurang ajar sangat kat rumah ni, kurang ajar dengan mak, jangan nak jadi anak derhaka! Apa yang kau nak bising-bising, makan pakai kau pun aku yang tanggung. Kau tu yang patut keluar, jadi manusia tak pernah nak bersyukur. Keluar!keluar!”

mak menarik tangan Kakty yang menundingkan jarinya ke arah pintu. Kakty yang datang entah dari mana, agaknya baru pulang dari kerja, mungkin dia terdengar percakapan yang boleh menaikkan kemarahan sesiapa pun. Aku masih ingat, seminggu aku tak pulang ke rumah. Daif sungguh aku ketika muda remaja dahulu. Anak derhaka, memang tepat untuk mengambarkan aku ketika itu. Ya Allah, ampuni Hamba-Mu ini.

Aku duduk di sisi katil ayah sambil termenung memandang wajahnya yang sungguh pucat. Kenapalah dahulu aku terlalu tegar menghampakan orang yang berada di depanku ini, Ya Allah. Aku beristigfar setiap kali teringat kisah lalu. Peristiwa yang lama memang perit untuk difikir kembali.  Betul kata kebanyakkan orang, kenangan itu lebih pahit dari apa yang ditanggung sekarang bila ianya diingati. Memandangkan hari ini Ery ke sekolah, aku hanya sendirian menemani ayah di wad. Sudah berhari dia ponteng kelas semata-mata menolong aku menjaga ayah di hospital. Dia terlalu baik berbanding dengan aku ketika muda remaja dahulu. Dia selalu menghormati mak dan ayah, ketika waktu mak masih hidup, dia rajin membantu mak membuat kerja rumah, biar pun dahulu dia masih kecil. Mengurus ayah yang sakit memang menjadi salah satu tanggungjawabnya dari dahulu hingga sekarang, dan aku melihat dia tidak pernah merungut sedikit pun.

***

Petang itu aku mendapat berita yang menambahkan lagi kegusaran di hati, Ayah kemungkinan akan lebih lama di hospital kerana kata doktor, terdapat kuman di usus ayah yang mengakibatkan kanser usus. Perkara yang mengejutkan ini memang lebih memedihkan hati kami bertiga. Tetapi hanya pada Allah tempat aku mengadu, apa lagi yang mampu aku lakukan, Cuma berdoa dan terus meminta kesembuhan penyakit ayah agar kesembuhan yang diingini oleh ayah selama ini diterimaNya, agar dia tidak lagi derita seperti sebelum ini. Kami akan menjaga, merawat, menghabis seluruh waktu kami untuk insan yang amat kami cintai iaitu ayah. Kami sudah kehilangan mak. Perit hati kami jikalau ayah mengekori mak terlalu awal. Biarlah kami menjaga ayah dalam keadaan seperti ini, aku lebih rela kerana aku ingin menebus segala perbuatan lampauku satu ketika dahulu.

“Khok!Khok!”

batuk ayah semakin menjadi-jadi.  Ianya membangkitkan aku dari tidur ketika aku lena di sisi katil ayah. Tangannya meraba-raba dan ingin mencapai gelas di atas meja sebelahnya. Aku segera mencapai gelas sebelum ianya jatuh terkena tangan ayah. Selepas minum air hampir separuh gelas, ayah kembali baring tetapi batuknya tetap tidak berhenti.  Aku cuba mengosok dada ayah dan menyangkakan batuk itu akan hilang tetapi ianya tidak berkesan sama sekali. Kerisauan aku di dalam hati semakin kuat. Aku segera memicit butang di sisi katil ayah kerana hatiku kurang senang melihat ayah dalam keadaan seperti itu. Tidak sampai beberapa minit, jururawat datang dan diikuti doktor yang tergesa-gesa seperti mengetahui keadaan ayah.

Langsir menutupi sekitar katil ayah dan aku diminta menunggu di luar. Hampir suku jam kemudian jururawat membuka langsir, aku lihat doktor masih disamping ayah. Aku menghampiri, “ ayah awak masih dalam pengawasan kami, kami terpaksa masukkan dia ke unit ICU. Ini bagi kebaikkan ayah awak.” Aku hanya mengangguk. Segala pengurusan ayah dibuat oleh jururawat. Ayah dalam keadaan tidak sedarkan diri seperti tidur. Aku segera menelefon Kakty memberitahu keadaan ayah.

***

“Bising betul orang tua ni, boleh tak senyap orang nak tidur.”

Rengusku dalam hati. Aku yang nyenyak tidur dikejutkan dengan batuk ayah. Aku segera ke bilik ayah, mak duduk di sisi sambil mengosok dada ayah.

“Orang tua ni tak pernah nak menyenangkan orang, dah lah menyusahkan orang, lepas tu tidur orang pun nak ganggu. Mak! Boleh tak tolong  tutup mulut orang tua ni, orang nak tidur pun susah, esok dah lah orang nak ke sekolah,nak kene bangun awal.”

Aku melihat mak mengelengkan kepala.

 “ tak baik Nak cakap macam tu, nikan ayah Elmy jugak, sanggup Elmy cakap macam tu kat ayah, ayah sakit bukan ayah yang minta tapi ini cubaan dari Allah. Bawalah bersabar Nak ye.”

Aku mencuih muka tanda benggang, aku menyepak kaki ayah ketika aku berlalu keluar dari bilik. Mak menepis tetapi kakiku kuat mengena kaki ayah sehingga badannya teralih sedikit dari tempat baringannya. Tingkah aku pada hari itu mungkin agak berani kerana Kakty bekerja syif malam dan dia tiada di rumah sehingga waktu pagi. Aku teringat akan kisah dahulu bila ayah mengejutkan tidurku tadi. Aku duduk di bangku panjang di luar bilik ICU. Ayah baru sahaja di masukkan ke unit ICU.

“Kakty, Kakty pergilah kerja, biar Elmy jaga ayah, kata doktor ayah baik-baik saja. Dia di bawah pengawasan hospital, Kakty pergilah. ”

 kataku kepada Kakty yang sampai pagi ini.

“biarlah, Kakty dah ambil cuti hari ini” sambut Kakty.

“Cuti? Kakty dah banyak hari cuti, takkan hari ni cuti lagi, nanti Kakty juga yang susah.”

“takpe lah Elmy, Kakty  tanggung semua tu, Elmy jangan risau. Yang penting ayah selamat. Itu je yang akak bimbangkan”

Betul juga kata Kakty, dengan keadaan ayah yang tenat seperti ini, memang patut kami utamakan. Aku hanya duduk dibangku di luar bilik ICU, sementara Kakty baru sahaja keluar dari menjenguk ayah.

“Kakty ingat tak waktu tahun lepas, waktu kita sambut hari jadi ayah. Kita buat kenduri kecil-kecilan kat rumah?”

aku menanyakan kepada Kakty ketika kami duduk sebangku di depan bilik ICU,ini kerana mahu memastikan Kakty ingat ataupun tidak ulangtahun hari lahir ayah lagi tiga hari .

“Kakty ingat, masakan Kakty lupa hari jadi ayah yang kita sambut tiap-tiap tahun dengan membuat sedikit kenduri. Tetapi tahun ni...”

tiba-tiba Kakty diam, aku mengerti, tahun ini kami hanya menyambutnya di hospital dan mungkin keadaannya tidak seperti tahun-tahun yang lepas.

***

Hari minggu begini sememangnya bagi kami bertiga berkumpul bersama. Aku dan Ery sudah berada di hospital, Kakty pula katanya lambat sedikit kerana ada urusan di bandar. Perutku agak lapar pagi-pagi begini, aku memesan kepada Ery supaya menjaga ayah sebentar sementara aku pergi membeli makanan untuk sarapan. Selalu tiap-tiap pagi pihak hospital akan memberi sarapan untuk pesakit serta penjaganya tetapi tidak bagi hari minggu. Aku beli sarapan untuk kami bertiga, makanan untuk ayah pula pihak hospital akan sediakan.  Namun seperti biasa, ayah bukan ada selera seperti dahulu. Makin hari makin risau aku memikirkan ayah.

Setibanya aku di luar bilik ICU, aku melihat Ery tiada dibangku tempat dia duduk sebelum aku pergi membeli makanan tadi. Aku beranggapan Ery di dalam bilik ICU menemani ayah agaknya. Aku segera memasuki bilik ICU untuk memanggil Ery. Tiba-tiba, aku terdengar suara Ery dari jauh, seperti sedang berkata sesuatu. Bait-bait dari ayat Ery seperti menusuk di dada ku, aku kenal ayat itu, aku terkejut yang teramat. Dari mana Ery dapat kertas itu, sedangkan aku simpan dalam almari di rumah.









Ayah..
Gusar hati kami tidak dapat kami bayangkan,
Riuh di sekeliling tidak mudah kami rasai,
Demi ayah kami korbankan,
Kerana ayah yang kami cintai..

Ayah..
Bukan pinta kami untuk ayah terus begini,
Keperitan ayah tetap jua kami rasai,
Kami hanya ingin terus bersama ayah,
Biar senang biar susah kita jalani sekeluarga,

Ayah..
Biarpun dosaku amat besar bagi mu,
Biarpun penyesalanku tiada penghujungnya,
Namun aku mahu ayah tahu sesuatu,
Yang aku tetap jua menyayangi ayah,

Ayah..
Janganlah dikau mengekori isterimu terlalu awal,
Anakmu masih di sini dahagai kasih dan sayang mu,
Jika jasad ini boleh di tukarganti,
Aku rela  berada di tempat ayah menangung semuanya,

Ayah..
Sudah bertahun kita bersama,
Pahit ku lakukan tidak mudah dilupakan,
Pengorbanan ayah yang aku sia-siakan,
Kini ku ingin tebus segala-galanya..
Elmy....


Aku perlahan menuju ke katil ayah lalu memegang bahu Ery dari belakang, Ery hanya memandangku dengan matanya yang dibasahi tangisan. Aku mengerti apa yang dirasainya. Apa yang dibaca Ery hanya coretan ku yang aku karang saat dahulu, saat aku mula kenal erti sayang pada insan yang ku gelar Ayah. Mungkin dia menjumpainya dalam kamarku. Ery memandang ku lagi,

“Bang Mie, Ery mintak maaf....”.

Aku hanya menganguk tanda mengerti, memang aku ingin bacakan untuk ayah satu hari nanti, namun aku lupa, mungkin sudah lama. Mataku semakin terasa panas, aku tahan, tidak akan aku tunjukkan kesedihan aku di depan ayah.

Ayah yang dari tadi hanya diam membisu, mana mungkin ayah berbicara ketika dia tenat begitu, aku memandang wajah ayah, matanya hanya separuh dibuka, namun hati aku terus pilu melihat air mata ayah mengalir. Aku segera menhampiri ayah lalu mengesat air mata ayah yang mengalir. Entah bagaimana, tanpa aku sedari air mata aku turut mengalir melihat kesuraman wajah ayah, ku pegang erat tangan ayah. Ayah hanya membalas dengan perlahan.

 “ ayah, Selamat Hari Lahir Ayah....,”

dalam sedu aku ucapkan, ya, hari ini hari lahir ayah, aku tidak mungkin lupa tarikh lahir insan yang ku cintai ini.

 “ayah... maafkan Elmy, yah. Elmy banyak buat salah dengan ayah dulu. Maafkan anak ayah .”

Hati aku semakin pilu, Ery hanya duduk di samping ku sambil memerhatikan aku dan ayah. Ayah cuba membuka matanya, mulutnya seperti mahu mengeluarkan kata-kata. Namun apa daya, ayah hanya mengedipkan mata, air mata ayah tetap mengalir. Ku peluk ayah, ku letakkan kepala ku di dada ayah.

“ayah! Elmy sayang ayah! Elmy sayang Ayah!”.

Tiba-tiba aku rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dada ayah, aku bangunkan kepalaku, ayah seakan sesak nafas. Aku menjadi panik.

“ayah!ayah!”.

 Aku perhatikan kelibat bayang Ery keluar dari bilik. Aku cuba mengosok dada ayah berulang kali.

Kelibat  Ery kembali bersama doktor dan dua orang jururawat. Aku dan Ery diminta keluar. Dalam sendu aku keluar perlahan melangkah kaki. Hatiku seakan tidak tenang, aku memundar-mandir di hadapan pintu.

“Elmy, Ayah macam mana? Apa jadi kat ayah? Ayah Elmy, Ayah!”.

Aku menjelaskan apa yang berlaku kepada Kakty yang baru tiba. Lambat mungkin kerana hal yang harus diuruskan dibandar. Ery dan Kakty duduk dibangku, tapi aku tidak setenang yang digambarkan, hatiku terus dipalu kerisauan.

***

“Lah, hidup lagi orang tua ni, ingat dah mampus dah kat hospital tu”

Kata-kata bengis ku agak perlahan, tidak mahu didengari Kakty, mahu teleng kepala aku kalau terkena pelempang dasyat Kakty. Yang ada di situ cuma mak,Ery dan ayah dalam baringan. Mereka baru pulang dari hospital, Ayah sesak nafas tiga hari lepas, Kakty bawa ayah ke hospital.

“Eh, Bang Mie, Nanti Ery bagitahu Kakty baru tau”.

Ery menyampuk seakan ingin mengadu pada Kakty, mak menepuk perlahan lengan Ery.

“Sibuk betul budak hingus ni, aku ganyah kang baru tau”. 
Dalam keadaan aku menarik tangan Ery.

“Kakty!” Ery memanggil sambil memandang Kakty yang baru tiba di bilik ayah.

“hah! Apa pulak ni Elmy..? dah kau pergi ambil air suam dengan tuala, aku nak lap badan ayah”.

Fuh!, nasib baik Kakty tak perasan. Dalam hati aku merengus tak puas hati kerana disuruh tak pasal-pasal oleh Kakty.

Tegar aku mendoakan kematian ayah, Astagfirullahalazim... Aku beristigfar di dalam hati. Sempat lagi aku teringat kisah lama. Sudah hampir setengah jam doktor di dalam, tapi apa-apa jawapan kami belum terima tentang ayah. Hampir sejam kemudian, doktor keluar dengan seorang jururawat, sambil menunduk dengan nada perlahan

“Maafkan kami, kami sudah berusaha sehabis mungkin, ini memang sudah ketentuan Illahi”.

Berderai rasanya jantung  sejurus mendengar doktor menyampaikan berita tentang ayah. Ya Allah! Ayahhh!!.. Jerit aku dalam hati. Aku terduduk, doktor hanya menepuk bahu ku lalu pergi. Kakty dan Ery memelukku dari sisi, air mata kami berderu keluar.

“Kakty, ayah! Ayah...”

Kakty hanya menganguk. Apa yang mampu aku lakukan, inilah yang di katakan takdir. Jodoh pertemuan, hidup mati di tangan Tuhan.

Segar lagi kubur mak, kini ayah pula mengekori. Mak! Ayah! Maafkan Elmy. Elmy tak sempat nak bahagiakan mak dan ayah. Ayah, kamu pergi meninggalkan kami pada ulang tahun kelahiran mu. Banyak lagi perkara yang ingin aku perkhabarkan pada ayah, bukan hanya sekadar ucapan 
‘Selamat Hari Lahir Ayah’.

selamat hari jadi ayah


Fakhri Norman

Terima Kasih Semua

TERIMA KASIH


Terima Kasih yg tak terhingga kepada sesiapa yang sudi membaca cerpen kedua aku nih... aku dah tangguh setahun nak siapkan cerpen nih, so, skrg dah siap..

Aku ni bukanlah pengarang termahsyur, bukanlah A Samad Said, bukan la lepasan sastera, aku ni just insan biase mcam korang semua, aku suka menulis, so, aku jadikan minat aku tu dengan mengkarya cerpen. Tak salahkan..??

Erm.. aku nak mintak maaf sekiranya isi2 dalam cerpen aku tu menyinggung mane2 pihak, sorry ye.. lagi satu, sorry sangat2 kalau bahasa, ejaan atau ayat dalam cerpen tu tersalah. Itu je yang mampu aku lakukan.

Hope korang senang la bace karya aku yg tak seberape tu yer... hehe..

Kalau korg dah habis bce korg kasi la komen.. boleh?? best ke, tak best ke or suggest kat aku takyah menulis dah ke.. ok??

Tak pun korang vote.. boleh? korang boleh vote kat bawah cerpen tu... or kotak undian kat tepi belah kiri tu.. korang leh pilih lebih dari satu jawapan... harap sangat korang bagi respon.. plz..

Terima Kasih ye lagi sekali kat korang yang sudi membace..

Jumaat, November 19, 2010

Ku Ingati Selalu

Lautan yang luas sudah ku renangi,
Gunung yang tinggi sudah ku daki,
Akar umbi tunas berganti,
Namun hati teguh mengingati,

Kenangan silam buat hidupku beerti,
Masa hadapan tak perlu ku nanti,
Kerna hari ini tetap ku lalui,
Biar pun esok harus ku nikmati,

Mengapa ini harus terjadi,
Bukan ku pinta bukan juga ku ingini,
Bisa yang tajam sudah ku rasai,
Semuanya kerna kealfaan diri,

Semua sudah berlaku disini,
Akal ku ligat terus mengamati,
Tidak akan ku lupa hinga akhir ku nanti,
Ianya akan selalu ku ingati di hati,

Jodoh Mu tuhan tidak ku jumpai,
Biarpun sekuat jiwa ku yakini,
Mengapa ini Kau beri ku kini,
Seharusnya bukan ini yang ku dahagai,

Balasan Mu kini menimpa lagi,
Ku tahu dugaan yang menembusi,
Hakikat aku tolong kembali,
Kerna diri menagih berkali..